Dingin


Hembusan bayu malam cukup dingin,
Sedingin salju hitam di malam zulmat,
Tiada siapa mengerti,
Dingin bayu itu menghiris sekeping hati,
Yang hampir kosong,
Yang hampir beku

Di balik rongga hati itu,
Ada sekelumit harapan yang memudar,
Harapan hadirnya sang mentari,
Yang bakal menyirnakan dingin yang mencengkam,
Menambah kemilau harapan yang sekelumit  itu,

Matahari



Matahari itu tersenyum,
Menanti hadirnya dingin

Senyum

Senyum itu plastik,
Sedang hati itu tulus.
Apa yang terlukis di bibir mungil,
Tidak melambangkan lukisan hati.

Sepatah Dua Kata

Cerpen saya Ibrah Dari Tirai Besi memenangi tempat keempat dalam pertandingan cerpen Group E-Novel (KEN) baru-baru ini.

Cerpen Ibrah dari tirai besi menumpukan kepada konflik yang padat dan mesej yang tersirat

Itu adalah ulasan juri mengenai cerpen aku. Aku memang tidak menyangka boleh menang. Biarpun tempat keempat, aku tetap bersyukur. Kerana bukan hadiah atau tempat yang aku dambakan, hanya sedikit harapan agar cerpenku ditelaah dan dinilai oleh para juri. Sedikit sebanyak dapat memberi motivasi kepada diri untuk terus menulis demi kebaikan.

Ibrah Dari Tirai Besi

Tajuk: Ibrah Dari Tirai Besi
Komuniti E-Novel

SEORANG pemuda sedang asyik menyiapkan tesisnya di suatu sudut dalam sebuah masjid. Sengaja dia memilih masjid sebagai lokasi utama kerana selain dapat beriktikaf, dia juga dapat memerhatikan seribu satu gelagat manusia sebagai satu sumber ilmu. Melalui gelagat manusia, dia boleh menganalisis sifat dan perwatakan manusia tersebut.

“Assalamualaikum,” sapa seorang lelaki yang menjengah ke usia 60-an sambil menghulurkan tangannya.

“Waalaikumsalam,” jawab pemuda itu seraya menyambut tangan yang dihulurkan. Senyum terlukis di bibirnya.

“Pak cik menganggu ke?” Tanya pak cik itu.

“Eh, tidaklah. Duduklah pak cik,” kata pemuda itu sambil membetulkan duduknya untuk memberi ruang kepada lelaki tua itu.

“Anak buat apa tu? Dengan buku yang berjilid-jilid,” tanya lelaki tua itu dengan wajah hairan sambil tangannya menguis-nguis buku yang disusun kemas di sebelah pemuda itu.

“Oh ini. Saya sedang siapkan tesis. Tugasan di universiti saya. Selain tu, dapat juga saya perhatikan gelagat jemaah di masjid ini,” jawab pemuda itu ramah. Lelaki tua itu tersenyum simpul.

Jeda sebentar. Lelaki tua itu kelihatannya termenung jauh seolah-olah ada sesuatu yang membelenggu mindanya. Perasan yang pemuda itu sedang memerhatikannya, segera dia membetulkan duduk. Lama dia merenung wajah pemuda itu sebelum dia menyambung kata-katanya.

“Anak percaya pada cinta?” Tanya lelaki tua itu serius. Matanya ditalakan ke arah sebentuk cincin yang tersarung di jari manis pemuda itu.

Buntang mata pemuda itu mendengar pertanyaannya. Apa kes pulak orang tua ni tanya mengenai cinta?
“Err.. Pernah pak cik. Malah saya dah bertunang pun,” jawab pemuda itu tersekat-sekat. Tidak pasti motif pertanyaan lelaki tua itu.

“Anak nak dengar satu cerita? Membabitkan cinta juga,” kata pak cik itu. Dia tersengih menampakkan giginya yang kekuningan. Serta merta aku mengangkat kepalaku. Lama aku berfikir. Akhirnya aku mengangguk.

“Begini ceritanya,” kata pak cik itu sambil membetulkan duduk. Pandangannya ditalakan jauh ke halaman luar masjid seolah-olah sedang mengingat sesuatu.

*****

“Kenapa kamu masuk penjara?” Tanya seorang warden penjara bernama Samad. Dia sedang berdiri di hadapan sebuah tirai besi yang dihuni oleh seorang pemuda yang berambut lebat. Jambangnya dibiarkan tidak terurus. Pemuda itu sedang bersila di atas tilamnya. Kosong pandangannya. Tanpa menoleh, dia bersuara.

“Kerana cinta,” jawab pemuda itu ringkas.

Berkerut dahi Samad mendengar jawapan pemuda itu. Tidak pernah dia mendengar jawapan yang sebegitu sepanjang dia menjadi warden penjara.

“Cinta? Kenapa pula?” Tanya Samad lagi. Dari pertanyaannya ternyata dia mahukan sebuah penjelasan.

“Tuan pernah merasa nikmatnya bercinta?” Tanya pemuda itu.

“Tidak. Tetapi saya tahu perasaan cinta itu satu nikmat yang amat hebat,” jawab Samad.

“Jika tuan tahu bagaimana nikmatnya bercinta, tuan akan lakukan apa sahaja untuk mempertahankannya, betul atau tidak?” Tanya pemuda itu lagi.

“Ya betul. Bahkan jiwa raga saya berani pertaruhkan demi cinta,” jawab Samad. Samad yang sedari tadi berdiri melabuhkan punggungnya di lantai betul-betul berhadapan dengan kamar besi itu. Rasa minat menerjah ke seluruh ruang hatinya.

“Begitu juga saya. Persoalan kenapa saya berada di sini sudah pun terjawab. Tuan sendiri yang menjawabnya. Tinggalnya saya di sini, di hadapan tuan adalah kerana cinta, Cinta itulah yang membuatkan saya merasa kuat untuk terus berada di sini, di sebalik tirai besi yang menghijab antara saya dengan tuan,” jawab pemuda itu. Wajahnya yang sekian lama tidak berperasaan kini mula menampakkan perubahan. Bibirnya mula mengorak senyum mesra.

Samad membuat wajah hairan. Sebetulnya ada persoalan yang masih perlu dijawab pemuda ini. Samad masih lagi kabur dengan sebab utama kenapa pemuda di hadapannya boleh berada di sini. Jika kerana cinta, cinta kepada siapa?

Seakan tahu Samad masih lagi kabur, pemuda tersebut menyambung katanya.

“Dunia ialah penjara orang yang beriman, sabar ialah kubunya dan syurga ialah tempat tinggalnya. Dunia ialah syurga bagi orang kafir, kubur ialah penjaranya dan neraka ialah tempat tinggalnya. Itu adalah kata-kata Imam Jaafar As-Sadiq, seorang mujtahid ulung yang jalur darahnya sampai kepada Saidina Ali. Saya jadikan kata-kata beliau sebagai satu azimat sakti untuk terus kuat dalam menghadapi tusukan pancaroba dunia. Jiwa saya, susuk tubuh saya dipenuhi parut yang berbekas dek tajamnya tusukan pancaroba. Saya tidak berundur mahupun setapak kerana saya tahu di penghujung perjalanan saya pasti adanya cahaya. Jika saya berundur, nescaya saya akan jatuh ke dalam lubuk yang zulmat hingga saya tidak mampu bangkit lagi. Atas sebab itulah saya pasakkan semangat Islam ke dalam jiwa saya dan terus mara walau badai menggulung. Kita ialah umat Muhammad yang diberi banyak keistimewaan melebihi umat-umat lain.Mengapa kita tidak menggunakan kelebihan yang diganjarkan oleh Allah dengan sebaik-baiknya?"

Buntang mata Samad mendengar sebuah penerangan yang sebegitu. Dia merasa takjub dengan pemuda itu. Betapa pemuda itu sanggup menggadaikan masa mudanya dengan meringkuk di dalam penjara yang berbau hamis ini. Apakah pemuda ini tidak mahu berkahwin dan berzuriat? Masa depannya sudah tiada. Lenyap di sebalik tirai besi.

“Apakah kamu tidak merasa rugi dengan keadaanmu sekarang? Kamu tidak berkahwin dan mempunyai zuriat. Malah dengan usia yang semuda kamu, orang lain berpusu-pusu mencari rezeki buat bekalan hari esok. Sedangkan kamu? Masih di sini, dalam penjara,” tanya Samad. Dia merasakan satu kerugian yang amat apabila masa muda tidak digunakan sebaiknya. Jika dia di tempat pemuda itu, dia sendiri tidak tahu apa yang patut dilakukan.

Pemuda itu hanya tersenyum mendengar pertanyaan Samad.

“Tuan, saya bukannya tidak mahu berkahwin dan mempunyai zuriat. Tetapi kerana hierarki cinta itu sendiri tidak mengizinkan saya untuk bersatu dengan insan yang saya cintai. Saya harus memilih antara cinta kepada Pencipta atau cinta kepada manusia. Jika dibandingkan hierarki cinta, sudah tentulah Pencipta diletakkan di tempat yang paling tinggi. Jika yang paling tinggi itu yang adalah yang terbaik, saya tidak akan mensia-siakannya. Saya tidak pernah merasa rugi dengan jalan yang saya pilih. Watak yang berperanan dalam memilih jalan hidup adalah saya, bukan orang lain. Orang lain mungkin memandang keadaan saya dengan mata yang penuh kerugian sedangkan di mata saya, ianya satu ketenangan meskipun kebebasan saya direnggut.

Samad memandang pemuda itu dengan wajah sayu. Jauh di sudut hatinya, hatinya dijentik belas yang amat melihat pemuda itu. Suatu perasaan belas yang tidak pernah dirasainya. Mungkin terharu dengan butir bicara pemuda yang penuh hikmah itu. Samad menghela nafas.

“Apa sebenarnya yang kamu lakukan wahai pemuda sehingga kamu terperosok di celahan tirai besi ini?”

Pemuda itu tersenyum.

“Saya menulis puisi. Bait-bait puisi saya berkisarkan mengenai betapa perjuangan Islam itu relevan sepanjang zaman. Selagi ada pemerintah kuku besi, selagi itulah perjuangan kita tidak akan pernah berhenti. Mengambil falsafah daripada kata-kata Imam Ali Bin Hussein Bin Ali Bin Abi Thalib yakni cicit Rasulullah “setiap hari adalah Asyura, setiap hari adalah Karbala”, kita akan mendapati betapa dalamnya makna kata-kata beliau. Asyura adalah hari di mana cucunda kesayangan Rasulullah iaitu Saidina Hussein dilanyak sehingga syahid oleh pemerintah zalim Yazid Bin Muawiyah. Peristiwa berdarah itu berlaku di tanah Karbala di Iraq. Adapun ungkapan Imam Ali Bin Hussein itu adalah bermaksud setiap saat yang berdetik, setiap minit yang berlalu dan setiap jam yang kita lalui adalah perjuangan malah ianya akan berterusan hingga ke akhir zaman. 

Mata Samad berkedip-kedip mendengar penjelasan pemuda itu. Pemuda itu tampak lebih matang daripada usia. Jelaslah bahawa usia tidak menjamin kematangan seseorang!

“ Ada satu persoalan, bukankah cerita dan falsafah yang kamu ambil itu dari golongan Syiah yang melata di Iraq?

Pemuda itu menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Tuan yang berhati mulia, izinkan saya bertanya kembali”.

Samad mengangguk.

“Nabi Muhammad itu siapa di mata kita?”

“Baginda ialah seorang Rasul umat Islam”.

“Jika begitu, kita bertanggungjawab ke atas baginda Nabi. Baginda Nabi tidak pernah membezakan seseorang itu Syiah mahupun Muktazilah. Bukankah kita sepatutnya mengikut baginda Nabi? Lantas apa yang mendorong tuan untuk melabelkan seseorang itu sebagai Syiah?

Lidah Samad terkelu. Dia tidak tahu apa yang harus diperkatakan lagi. Tidak boleh tidak, Samad harus mengakui kebenaran kata-kata pemuda itu.

“Begitulah kita. Kadang-kadang kita suka melabel orang lain. Kita merasakan diri kita begitu suci lantas menghalalkan kita untuk melabelkan.Inilah antara perkara yang saya tegaskan dalam puisi saya. Apabila kita menyebut Islam, maknanya satu. Satu agama yang di dalamnya terdiri daripada pelbagai sekolah pemikiran yang akidahnya bertunjangkan Allah. Seperti biasa, dalam mana-mana kumpulan pun pasti ada duri dalam daging yang memecahbelahkan solidariti umat Islam. Dan saya antara penentang duri dalam daging tersebut melalui mata pena,” kata pemuda itu lagi. Kepalanya didongakkan sedikit.

Samad hanya diam seribu bahasa. Dia menyoroti susuk tubuh pemuda di sebalik tirai besi itu. Kurus dan tidak terurus.

“Mengapa hanya kamu seorang sahaja yang berada di sini? Di mana pendokong kamu?” Samad memberanikan diri bertanya.

“Saya tidak punya pendokong khusus. Malah saya tidak memerlukan pendokong wahai tuan. Setiap aksara yang saya titipkan bukannya untuk mengumpulkan seberapa pendokong. Bukan begitu. Saya hanya menulis supaya orang lain mengambil manfaat dari tulisan saya. Setiap gerak kerja yang dilakukan haruslah mempunyai matlamat yang jelas dan terang. Matlamat saya adalah redha Allah. Jauh sekali untuk mengumpul pendokong. Jika ada yang mendokong, saya tidak menolak tetapi mereka haruslah mendokong tulisan saya dan bukannya mendokong peribadi saya. Apabila saya mati nanti, mudah-mudahan tulisan saya akan tetap hidup di sisi perwira agama!” Tegas jawapan pemuda itu.

Samad memejamkan mata. Dadanya seperti berdebur pecah. Kata-kata pemuda itu benar-benar meruntunkan hatinya. Tanpa semena-mena, ada air bening bertakung di kelopak mata Samad. Segera diseka air matanya sebelum ia jatuh ke bumi.

Jam di tangan ditatap seketika. Hampir jam 12 tengahari. Kamar penjara yang tertutup meminimakan kadar sinaran mentari untuk menerjah masuk. Kedengaran pintu utama dibuka, ada empat hingga lima orang pegawai penjara menuju ke arah Samad. Samad bingkas bangun.

Salah seorang pegawai penjara itu membuka pintu sel yang dihuni oleh pemuda itu. Perlahan-lahan pemuda itu berjalan keluar dari sel. Dia berhenti sebentar di hadapan Samad.

“Saya pergi dulu, tuan. Terima kasih kerana sudi mendengar,” tutur pemuda itu. Samad mula hairan.

“Kamu nak pergi ke mana?” Tanya Samad. Matanya melilau ke arah pemuda itu, kemudian ke arah salah seorang pegawai penjara yang bermisai tebal itu. Pegawai penjara itu tidak menjawab. Dia yang baru dua minggu bertugas di penjara tidak mengetahui ke mana pemuda itu akan dibawa.

“Saya akan menghadap Allah sebentar lagi. Mohon doa dari tuan. Saya pergi dulu. Assalamualaikum,” ucap pemuda itu sambil berlalu pergi diiringi para pegawai penjara.

“Wa..Waalaikumsalam,” jawab Samad tersekat-sekat. Dia seperti mahu pengsan mendengar kata-kata pemuda itu.

Pintu utama ditutup. Meninggalkan Samad yang masih tercegat di hadapan sel.

*****

“Begitulah ceritanya. Seorang pemuda yang mengorbankan jiwa dan raganya demi agama kita. Berapa ramai pemuda sekarang yang mampu turun bersolat Subuh berjemaah di masjid? Boleh dibilang dengan jari,” tutur lelaki tua itu.

Pemuda itu hanya tunduk memandang lantai. Perasaan sebak menyerbu dadanya. Sungguh kisah warden penjara itu benar-benar menginsafkan!

Azan Zohor mula berkumandang dari cerobong pembesar suara masjid. Orang ramai mula berpusu-pusu memasuki masjid dan mensucikan diri.

“Terima kasih pak cik kerana menceritakan kisah itu tadi,” ucap pemuda itu sambil tangannya ligat memasukkan segala buku dan radas ke dalam beg galasnya.

“Sama-sama. Jadikan ia satu pengajaran ya,” kata lelaki tua itu sambil bersiap untuk bangun.

“Pak cik Samad jadi imam ya hari ini,” kata seorang jemaah yang kelihatan agak muda kepada lelaki tua itu. Lelaki tua itu tersengih menampakkan giginya dan mengangguk.

Mendengar kata jemaah muda itu, pantas pemuda itu mengangkat muka. Itukah Samad?

TAMAT

Intro

Jari jemari yang menaip di hamparan kertas mampu mengubah dunia kita dan kamu. Kita bebas menulis apa yang kita mahukan sama ada menjurus ke arah kebaikan atau keburukan. Setiap aksara yang dinukil menjadi saksi atas apa yang kita nukilkan bukan di dunia, di akhirat itu pasti.

Selamat menulis saya ucapkan.